Harian Metro – Saturday, 20 August 2011
MENJANJIKAN suasana kehidupan mewah, eksklusif dan selesa, The Z Residence Bukit Jalil antara projek kondominium yang menjadi tumpuan ramai. DimajukanTrinity Group Sdn Bhd (Trinity Group), projek hartanah itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.
Pembinaan merangkumi empat blok dari 26 hingga 27 tingkat kondominium dengan 1,136 unit kediaman ditawarkan. Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat, berkata projek dijangka siap dalam tempoh tiga tahun itu mendapat sambutan dengan 50 peratus daripada 1,136 unit rumah habis dijual.
“The Z Residence antara projek pembangunan kami yang eksklusif khususnya daripada segi saiz dan nilainya. “Ini adalah masanya bagi pembeli merebut peluang memiliki kediaman mewah yang ditawarkan dari harga bermula RM450,000 ke RM650,000,” katanya.
Menariknya The Z Residence memaparkan reka bentuk moden dan kontemporari mewah berdasarkan konsep hidup bandar yang sihat. Lima jenis rekaan ditawarkan dengan unit kecil membabitkan dua bilik dengan keluasan 1,032 kaki persegi.
Sementara unit terbesar dengan tiga bilik dalam keluasan 1,407 kaki persegi yang semestinya menjanjikan keselesaan kepada setiap penghuni. Malah, kediaman mewah itu turut menyasarkan eksekutif muda, keluarga atau pengantin baru yang memerlukan ruang selesa dan praktikal.
“Kami percaya aspek lokasi, suasana mewah lagi eksklusif dan reka bentuk yang sempurna. Nilai The Z Residence semestinya antara pelaburan terbaik pemilik kediaman kerana ia antara lokasi strategik di Lembah Klang Selatan,” katanya.