Sinar Harian – Tuesday, 25 June 2013
APAKAH pertimbangan paling utama semasa melabur dalam hartanah bertingkat tinggi pada masa ini?
Menurut pakar muda dalam industri hartanah Malaysia, Faizul Ridzuan, tiga perkara paling utama sebelum melakukan pelaburan terbesar dalam hidup dengan membeli hartanah adalah lokasi, rekod pemaju dan butiran hartanah.
Faizul baru-baru ini berkongsi pengetahuannya di Galeri Jualan Zeva, iaitu projek pembangunan oleh Kumpulan Trinity dengan pembeli yang ingin mengetahui apa yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli rumah jenis kondominium atau pangsapuri.
Menurut Faizul, pembangunan bercampur adalah antara yang paling laris ketika ini.
“Reka bentuk moden dan kemudahan yang pelbagai menarik pembeli generasi Y dan hartanah seperti ini juga mempunyai nilai jualan semula yang lebih tinggi, selain mudah disewakan.
“Apabila membeli hartanah untuk pelabaran, lebih baik untuk membeli unit paling teruk dalam pembangunan yang baik daripada membeli unit paling baik dalam projek yang teruk. Nilai hartanah bergantung kepada faktor sama ada hartanah itu boleh dijual dengan keuntungan atau disewakan pada kadar yang baik,” menurut Faizul yang memiliki 23 hartanah sebelum mencecah umur 30 tahun.
Faizul turut menggalakkan pembeli mengambil peluang melalui tawaran istimewa dan diskaun yang ditawarkan pemaju hartanah terutama semasa tempoh pelancaran.
Menurutnya, harga rumah akan naik mendadak selepas sahaja ia siap dibina.
Faizul berkata, berdasarkan pengalamannya sendiri, beliau membeli pangsapuri berharga RM236,000 pada 2009 dan kemudian dijual pada RM456,000 sebaik sahaja rumah itu siap dibina.
Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Trinity Sdn Bhd Ng Ching Yee berkata, sesi perkongsian pengetahuan yang dianjurkan syarikat ini dapat membantu pembeli rumah pertama untuk memahami manfaat dan kepentingan melabur dalam hartanah yang betul.