Perolehan RM640j

Harian Metro – Saturday, 18 February 2012

TRINITY Group Sdn Bhd (Trinity Group), syarikat pemaju hartanah mengunjurkan perolehan sehingga RM640 juta tahun ini berbanding RM420 juta yang dicatatkan pada tahun lalu bersandarkan pembangunan beberapa projek bercampur di sekitar Selangor.

Pemaju hartanah terkemuka itu bakal melancarkan projek pembangunan bercampur, The Zeva yang mempunyai nilai pembangunan kasar (gdv) RM260 juta pada April ini. Projek itu dilengkapi struktur pembangunan servis apartmen, apartmen dan rumah kedai dijangkakan siap sepenuhnya pada 2015.

Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat berkata, The Zeva terletak di Seri Kembangan, Selangor dijangka menyumbang 33 peratus kepada unjuran perolehannya tahun ini dan pihaknya optimis mampu mencapai sasaran berkenaan kerana projek terbabit dibangunkan mengikut binaan moden yang mendapat perhatian pembeli masa kini.

 “Sebelum ini, syarikat berjaya membangunkan projek The Z Residance terletak di Bukit Jalil dan ia sudah hampir terjual kesemua unit kondominium yang ditawarkan kepada orang ramai”

The Z Residance tertumpu kepada pembeli dalam segmen mewah kerana ia dilengkapi dengan kemudahan seperti bumbung terbuka dan ruang taman.

“Berbanding pembangunan unit kediaman di The Zeva, ia tidak disasarkan kepada segmen pemilik mewah tetap lebih tertumpu kepada pembeli biasa dan harga yang ditawarkan tidak dapat diumumkan buat masa ini kerana ia dalam perbincangan.” katanya kepada Bisnes Metro semalam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan Trinity Group untuk membangunkan projek kediaman mampu milik, beliau berkata, syarikatnya mempunyai hasrat untuk membangunkan kediaman dalam segmen berkenaan yang mungkin dibangunkan di lokasi Sri Kembangan, Selangor dengan harga ditawarkan bermula RM350,000 seunit.

“Harga berkenaan ditawarkan rumah jenis apartmen dan ia sudah dianggap murah kerana lokasinya yang terletak berhampiran Lembah Klang. Ia juga salah satu usaha yang ingin ditonjolkan dalam membantu kerajaan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah pada masa depan.” katanya.