Berita Harian – Saturday, 31 March 2012
PEMAJU hartanah tempatan, Trinity Group Sdn Bhd secara usaha sama dengan Team Builder Ventures Sdn Bhd akan memajukan projek hartanah bercampur, Zeva, membabitkan unit kediaman serta komersial di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat, berkata projek itu dijangka menjadi tumpuan di kawasan itu kerana ia bakal menawarkan persekitaran kehidupan holistik bagi pembelinya.
“Melalui usaha sama ini, Team Builder akan menyediakan tapak projek manakala Trinity Group akan bertanggungjawab dalam perancangan, mereka bentuk dan membangunkan projek di tapak seluas 1.5 hektar itu,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Neoh berkata cabaran bagi pemaju hartanah pada 2012 ini adalah untuk memperbaharui, menambah nilai dan membezakan diri mereka dalam pasaran hartanah yang semakin kompetitif.
“Kami di Trinity Group mendapati kami mesti menjadi lebih pintar dan kreatif berbanding sebelum ini. Dengan menjalin perkongsian bermanfaat, ia membolehkan kami memberikan hasil yang terbaik kepada pelanggan kami dengan cara yang tepat serta kos efektif tanpa menjejaskan kualitinya,” katanya.
Usaha sama itu akan menyaksikan anak syarikat milik penuh Trinity Group, Kensington Vision dan Team Builder Ventures bersama-sama mengumpul sumber, kepakaran dan idea terbaik untuk menghasilkan projek berkualiti tinggi dan mempunyai nilai tambah bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.
Pengarah Urusan Team Builder Ventures, Tham Sun Weng pula berkata, dengan slot tanah utama di Seri Kembangan, pihaknya mencari rakan usaha sama untuk meneroka potensi pelaburan penuh dan nilai yang ditawarkan tanah berkenaan.
“Dengan reputasi dan rekod baik dimiliki Trinity Group, ia menjadi pilihan paling sesuai dan kami yakin kerjasama ini akan menghasilkan keputusan menang-menang kepada semua pihak,” katanya.
Lokasi bagi projek itu boleh dihubungkan ke Kuala Lumpur (KL) dan Petaling Jaya melalui lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), dan Lebuh Raya KL-Putrajaya (MEX).
la juga berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Tambang Rendah selain pusat membeli belah, institusi pendidikan dan kemudahan awam yang lain.