Trinity Rainfora kondominium 31 tingkat harga bermula RM530,000

Berita Harian – Wednesday, 04 September 2024

Soo Keat bersama model pembangunan kondominium Trinity Rainfora di Puchong. – NSTP/Hazreen Mohamad

PUCHONG: Trinity Group memperkenalkan projek pembangunan mercu tanda terbaharunya, Trinity Rainfora dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM388 juta.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Neoh Soo Keat, berkata pembangunan kondominium 31 tingkat itu dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 0.97 hektar terletak di Bandar Kinrara 5, Puchong dan menawarkan 535 unit kediaman antara 68.66 meter persegi hingga 110 meter persegi.

“Dijadualkan siap pada 2028, harga bagi Trinity Rainfora bermula daripada RM530,000 untuk unit seluas 68.66 meter persegi. Trinity Rainfora menawarkan nilai yang tiada tandingan dalam pasaran semasa dan disasarkan kepada golongan kelas menengah atas dan profesional muda,” katanya kepada media pada majlis pelancaran projek itu di sini, hari ini.

Sempena pelancaran itu, Trinity Group juga memperkenalkan Program ‘Gold Assurance’, menawarkan jaminan terbaik kepada pembeli rumah, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu, kata Soo Keat.

Selain itu, Soo Keat berkata, program terbabit termasuk tempoh liabiliti kecacatan selama 36 bulan, melangkaui standard industri selama 24 bulan.

“Waranti 10 tahun untuk kebocoran bumbung, melepasi perlindungan kebiasaan selama dua tahun dan waranti lima tahun untuk kerosakan jubin, kebiasaannya diberi waranti dua tahun,” katanya.

Soo Keat berkata, Program ‘Gold Assurance’ menjadi daya tarikan kerana menawarkan tahap keselamatan dan keyakinan yang lebih tinggi untuk pemilik rumah, memastikan bukan sahaja kualiti tetapi juga ketenangan fikiran.

“Menerusi program ini, Trinity Rainfora memberikan pembeli ketenangan fikiran dan nilai jangka panjang. Pembangunan itu bukan sahaja menawarkan ruang kediaman selesa, ia juga mencerminkan komitmen kumpulan ini terhadap kemampanan dan inovasi,” katanya.

Trinity Rainfora berdekatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kinrara BK5, jaraknya hanya 400 meter dan kawasan kediaman itu mempunyai akses jalan raya ke Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), menyediakan banyak pilihan untuk perjalanan ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang. – BERNAMA