MyTV Online – Thursday, 05 September 2024
Puchong: Trinity Group Sdn Bhd (Trinity), pemaju hartanah kediaman yang menampilkan unit kondominium mampu milik kemudahan mewah, memperkenalkan pembangunan terbaharunya, Trinity Rainfora dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM388 juta.
Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group Sdn Bhd, Datuk Neoh Soo Keat berkata, Trinity Rainfora, pembangunan transit berasaskan hutan hujan yang unik di Lembah Klang itu dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
Katanya, Trinity Rainfora mempunyai pembangunan 31 tingkat, dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 2.4 ekar (0.971 hektar) dan menampilkan 535 unit kediaman yang berukuran dari 739 kaki persegi hingga 1,184 kaki persegi.
“Dalam beberapa tahun terakhir, pandemik telah mengubah secara mendalam tingkah laku dan tabiat pengguna, secara tidak langsung mengubah apa yang mereka hargai dan bagaimana mereka hidup, bekerja dan berhibur.
“Mereka mahukan lebih banyak masa bersama keluarga dan meletakkan kepentingan yang lebih pada kesejahteraan mereka.
“Rumah idaman mereka adalah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan, satu tempat untuk melepaskan diri dari tuntutan kehidupan bandar.
“Dengan pemahaman ini, kami cipta ruang hidup seimbang dengan sempurna antara tuntutan kehidupan bandar dan ketenangan alam semula jadi.
“Projek ini menggambarkan visi kami untuk mentakrifkan semula masa depan kehidupan bandar di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Trinity Rainfora di sini, semalam.
Menurutnya, sempena meraikan ulang tahun ke-20 Trinity, pihaknya teruja memperkenalkan pembangunan ini yang tidak hanya menawarkan ruang hidup luar biasa, juga mencerminkan komitmen kumpulan terhadap kelestarian dan inovasi.
Neoh berkata, faktor pembeza utama Trinity Rainfora adalah lokasi strategiknya, reka bentuk inovatif diperkukuh termasuk Program Jaminan Emas.
Beliau berkata, dengan harga bermula dari RM530,000 untuk unit 739 kaki persegi, Trinity Rainfora menawarkan nilai yang tiada tandingan di pasaran semasa.
Trinity Rainfora menawarkan pelbagai kemudahan termasuk Kanopi Hutan Hujan, Jejak Moonlit Skyrun, Hutan Glamping, Kolam Infiniti, Gim Air dan banyak kemudahan menarik yang lain.
Lebih 40 peratus daripada podium kemudahan dan 53 peratus daripada teres awan didedikasikan untuk ruang hijau, menawarkan persekitaran tenang di tengah landskap bandar.
“Sebagai projek terbaru Trinity Group, Trinity Rainfora merangkum kepercayaan kami dalam kehidupan luar biasa yang harmoni dengan alam.
“Sasaran kami adalah keluarga kelas pertengahan atas dan profesional muda, di mana Trinity Rainfora menawarkan pelbagai saiz unit, di mana keluarga boleh hidup selesa, anak-anak mempunyai ruang luas untuk berkembang dan bermain dan kehidupan pelbagai generasi,” katanya.